KUALA PILAH 30 Nov. - Gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter berlaku di beberapa kawasan di Tanjung Ipoh di sini awal pagi ini.
Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia ketika dihubungi memberitahu, gempa bumi itu berlaku pada pukul 12.15 pagi dan berpusat di 22 kilometer arah timur Seremban.
Bagaimanapun, menurutnya, tiada gegaran kuat dirasai penduduk sekitar akibat gempa bumi itu.
Sementara itu, beberapa penduduk di sekitar Taman Pemarak, Tanjung Ipoh yang ditemui pagi ini mengesahkan berasa gegaran kecil di kawasan kediaman mereka dalam tempoh beberapa saat.
Zainudin Adam, 75, berkata, dia terjaga daripada tidur dan dapat merasakan gegaran pada waktu itu.
"Saya tinggal seorang diri di rumah pada waktu itu dan tersedar apabila katil tiba-tiba bergoyang sedikit.
"Kejadian itu berlaku beberapa saat dan selepas itu suasana kembali senyap," katanya.
Kejadian itu adalah yang pertama melanda daerah yang terletak di tengah-tengah Negeri Sembilan.
Selain Kuala Pilah, satu gempa bumi sederhana berukuran 5.5 Richter turut dilaporkan di Kepulauan Mindanao, Filipina pada pukul 4.09 pagi ini.
Dalam pada itu, seorang pesara guru, Bachik Othman, 68, pula memberitahu, dia mula menyedari berlaku gempa bumi kecil itu apabila anaknya dari Kuala Lumpur menghubunginya hari ini.
Khairuddin Abd. Rahman, 61, pula memberitahu, dia tidak menyedari berlaku gempa bumi lemah di sini dan hanya dimaklumkan oleh jiran pagi ini selepas mendengar hebahan di radio.
"Mungkin gegaran itu terlalu kecil menyebabkan saya tidak sedar ia berlaku," ujarnya.
Tinjauan Utusan Malaysia di taman perumahan itu dan sekitar kawasan Tanjung Ipoh mendapati, keadaan tenang dan rata-rata penduduk tidak sedar kejadian itu berlaku awal pagi ini.
Tiada kemalangan jiwa atau keretakan berlaku di kawasan itu, malah belum ada laporan dibuat oleh penduduk di Balai Polis Tanjung Ipoh berhubung kejadian tersebut.