Followers

Tuesday, July 6, 2010

Barah payu dara banyak di Pantai Timur

SEPERTI diketahui kanser payu dara merupakan penyakit yang menduduki carta tertinggi dalam kategori kanser pembunuh, bukan sahaja di Malaysia tetapi di dunia.
Ini kerana berdasarkan perangkaan, kadar wanita yang menghidap penyakit barah payu dara semakin meningkat dan daripada setiap 20 orang wanita, seorang daripadanya merupakan penghidap penyakit berbahaya itu.

Menurut Pakar Bedah Am, Kelana Jaya Medical Centre Sdn. Bhd., Dr. Peh Kiam Heng, biarpun pelbagai kempen kesedaran dilakukan oleh kerajaan, wanita di negara ini masih terdedah kepada penyakit berbahaya itu.
''Kita tidak mempunyai statistik yang lengkap, namun berdasarkan catatan yang diperoleh daripada beberapa hospital, kadar penyakit barah payu dara menunjukkan peningkatan yang membimbangkan,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Tambah beliau, peningkatan tersebut berlaku kerana kesedaran kaum wanita untuk membuat pemeriksaan kesihatan payu dara masih kurang biarpun pelbagai kempen kesedaran dianjurkan.

Ujar beliau, barah payu dara boleh menyerang sesiapa sahaja tetapi berdasar pengalamannya selama menjadi doktor, banyak kes berlaku di negeri-negeri sebelah Pantai Timur.
Ini kerana menurut beliau, pesakitpesakit di kawasan berkenaan tidak mahu menerima rawatan di hospital malah mereka lebih suka mendapatkan rawatan cara tradisional.
"Ramai daripada pesakit tidak mahu menerima rawatan di hospital kerajaan mahupun hospital swasta dengan alasan suami mereka tidak izinkan.

''Tetapi apabila penyakit mereka menjadi semakin teruk, barulah mereka sedar dan apatkan rawatan di hospital. Ketika itu sudah terlambat kerana penyakit sudah berada di tahap yang kritikal iaitu peringkat empat,'' ulasnya lanjut.
Tambah beliau lagi, ada pesakit yang dikesan menghidapi barah ini pada peringkat awal, tetapi tidak mahu menjalani pembedahan disebabkan beberapa faktor termasuk takutkan rawatan susulan yang mana ia penting untuk membunuh sel barah.
Sikap tersebut jelasnya, menyebabkan barah merebak ke tahap lebih kronik iaitu pada peringkat tiga dan empat.

Menurut Dr. Kiam Heng lagi, banyak faktor risiko yang menyumbang jangkitan barah antaranya genetik, sejarah barah payu dara dalam keluarga, umur mula haid sebelum 12 tahun, putus haid selepas 50 tahun, tidak pernah mengandung atau melahirkan anak pada usia lebih 35 tahun.

Faktor risiko lain, tambah beliau, adalah pemakanan dan gaya hidup yang dilalui.
Bagaimanapun ujar beliau, tiada kajian atau statistik di negara ini yang menunjukkan bagaimana penyakit barah payu dara ini menyerang pesakitnya.
Pada masa yang sama, beliau memberitahu, barah payu dara 'menyerang' semua kaum, tetapi setakat ini paling ramai penghidapnya adalah kaum Cina.
Sementara itu, beliau berkata, barah payu dara adalah antara barah yang boleh dikesan lebih awal melalui kaedah yang betul.
Ini termasuk melalui pemeriksaan sendiri payu dara (PSP) bagi mengesan benjolan pada payu dara.

Bagaimanapun, terdapat juga sesetengah wanita yang langsung tidak menyedari bahawa payu daranya telah diserang barah walaupun telah berulang kali menjalani pemeriksaan di hospital atau membuat pemeriksaan sendiri payu dara.
Ini berlaku ekoran terdapat kanser yang tidak boleh dikesan hanya dengan menyentuh bahagian permukaan kulit payu dara.
Untuk itu, cara yang lebih selamat ialah dengan menjalani proses pengimbasan kanser menggunakan pengimbas mamogram yang mampu mengesan ketumbuhan membabitkan kanser payu dara pada peringkat awal dengan tepat.

Apa yang beliau harapkan agar wanita-wanita di negara ini membuat pemeriksaan kesihatan lebih kerap bagi mengesan kemungkinan dijangkiti pelbagai jenis penyakit kronik.
Melalui pemeriksaan awal, ia dapat membantu mencegah penyakit berkenaan daripada merebak dan akhirnya menjadi pembunuh dalam senyap.

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails