MUHAMMAD Quraish Shihab berkata : Setelah ayat yang lalu digambarkan sekelumit tentang syurga, ayat ini menggambarkan sifat-sifat mereka yang layak menghuninya.
Ia berkaitan erat dengan peristiwa perang Uhud dan malapetaka terjadi kerana keinginan memperoleh harta rampasan perang yang belum sampai waktunya untuk diambil, maka nasihat pertama adalah berinfak dengan menyatakan ciri-ciri orang yang bertakwa adalah mereka yang kebiasaannya berterusan menafkahkan hartanya di jalan Allah SWT tidak mengira waktu senang atau susah.
Ayat ke-133
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa..
Iktibar dan fiqh ayat
i. Ibn Kathir berkata: "Allah menyeru orang yang beriman supaya segera melakukan kebaikan dan ketaatan".
ii. Al-Maraghi berkata: "Syurga disediakan untuk mereka yang bertakwa. Ayat ini menyatakan bahawa syurga itu sekarang sudah ada di luar alam kita ini. Ini disebabkan syurga ini dinyatakan lebih besar dari alam.
"Oleh itu, syurga tidak dapat dicakupi oleh alam. Kemudian Allah SWT menerangkan ciri-ciri orang yang bertakwa dengan beberapa sifat. Keseluruhannya adalah sifat-sifat yang terpuji dan menjadi kebanggaan".
iii. Abu Muslim berkata: "Perkataan luas dalam ayat ini bermaksud bukanlah luas seperti benda yang dapat dijual beli dengan harga tertentu seperti langit dan bumi, tetapi luas di sini untuk menyatakan ketinggian martabat dan keunggulan nilainya. Tidak boleh dinilaikan pengertian luas dengan kebendaan walaupun betapa besarnya".
iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Maksud lebar syurga di sini adalah luasnya yang membawa maksud kepada perumpamaan. Ia tidak harus difahami dalam erti harfiahnya.
"Dalam hati manusia tidak ada sesuatu yang dapat menggambarkan keluasan melebihi luas langit dan bumi. Untuk menggambarkan luasnya syurga Allah SWT memilih kata-kata 'selebar langit dan bumi'".
v. Hamka berkata: "Segera memohon keampunan Allah SWT tidak kira orang kaya atau miskin. Berlumba-lumba mengajar ganjaran syurga yang telah dijanjikan oleh-Nya.
"Sesungguhnya amalan mulia seperti tolong-menolong sesama manusia, bersedekah, berwakaf dan bernazar mengandungi makna yang lebih besar iaitu keselamatan pergaulan hidup di dunia berdasarkan kepada takwa jambatan ke akhirat".
Ayat ke-134
Firman Allah SWT yang bermaksud: Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik…
Iktibar dan fiqh ayat
i. Al-Maraghi berkata: "Mereka adalah orang yang menafkahkan harta mereka pada waktu senang mahupun pada waktu susah. Mereka menafkahkan harta sesuai dengan tuntutan keadaan dan tidak pernah menolak untuk mengeluarkan infak pada bila-bila masa".
ii. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT amat menyukai orang yang mengutamakan kepentingan orang lain yang berada dalam kesulitan dan memberikan sebahagian nikmat Allah SWT kepada mereka sebagai tanda syukur kepada Allah SWT".
iii. Hamka berkata: "Ayat ini memperincikan lebih jelas keazaman setiap hamba-Nya yang bersedekah dan menderma untuk mengejar syurga yang sangat luas untuk diperkatakan.
"Orang miskin dan kaya tidak terkecuali dalam matlamat yang serupa mencari keredaan Allah SWT".
Ayat ke-135
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka , dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
Iktibar dan fiqh ayat
i. Al-Maraghi berkata: "Susunan ayat ini merupakan lanjutan daripada susunan ayat yang sebelumnya.
"Tujuan ayat ini adalah untuk menyenangkan hati orang yang bertaubat dalam usaha membersihkan hati mereka, memberi khabar gembira bahawa adanya rahmat Allah Yang Maha Luas, keampunan-Nya yang dekat, serta menghargai usaha mereka.
"Mereka mengetahui bahawa hanya dengan sifat rahmat dan kurniaan-Nya orang yang berdosa itu tidak lagi mempunyai perasaan takut dan kerana rahmat-Nya juga orang yang bertaubat dari dosanya menjadi seperti orang yang tidak berdosa.
"Seseorang yang ingin mencari perlindungan daripada-Nya, menjauhi sebarang perbuatan dosa sedaya upaya yang mungkin, maka Allah SWT akan mengampuninya dan menghapuskan segala dosanya, meskipun dosanya begitu besar.
"Ini kerana pengampunan-Nya adalah lebih besar dan rahmat-Nya lebih luas. Ayat ini mengandungi dorongan kepada hamba-Nya agar segera bertaubat dan memberi pesanan agar jangan mudah berputus asa dan patah hati".
ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kalau diamati sifat-sifat para penghuni syurga atau orang-orang bertakwa di atas ditemukan maksiat dan kederhakaan yang dilakukan sebegitu pantas dia menyedarinya dan tidak tercabut ketakwaannya.
"Hal ini membuktikan betapa benarnya ajaran dari al-Quran.
"Allah SWT tidak menutup pintu taubat dan mengharuskan semua hamba-Nya sebersih kain putih sehalus sutera.
"Dia menerima hamba yang melakukan dosa dan perkara-perkara yang dimurkainya dengan syarat menyedari setiap perbuatan tersebut adalah satu kesalahan yang besar".
iii. Hamka berkata: "Demikianlah Allah SWT menggariskan kehidupan orang yang beriman yang mesti mereka tempuhi dengan iman, amal, takwa dan usaha.
"Membentuk sahsiah diri dengan penuh kasih sayang limpah kurnia dari Yang Maha Esa. Selalu berusaha memperbaiki kehidupan dan mengabdikan diri hanya kepada ilahi".
Ayat ke-136
Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.
Iktibar dan fiqh ayat
i. Al-Alusi berkata: "Dimulakan dengan kalimah mereka sebagai isyarat berdasarkan sifat mereka yang baik dan terpuji, di samping menunjukkan kemuliaan mereka".
ii. Al-Qurtubi berkata: "Allah SWT menyusun kemuliaan-Nya dan kelebihan-Nya dengan keampunan bagi siapa yang ikhlas dalam taubatnya serta tidak kekal dalam melakukan dosa".
iii. Al-Maraghi berkata: "Orang yang bertakwa ialah mereka yang telah disebutkan ciri-cirinya di atas. Mereka ini aman daripada seksa, mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Tuhan mereka dengan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.
"Kesimpulannya, balasan terbaik yang disebut itu terdiri daripada pengampunan, dan syurga merupakan satu kurniaan kepada orang yang mengerjakan beberapa amalan tersebut sama ada amalan bersifat material.
"Contohnya, mendermakan harta atau bersifat moral seperti tidak mendatangkan kerugian kepada orang lain. Balasan ini pula berbeza-beza menurut besar kecil perbuatan yang dilakukan".
iv. Hamka berkata: "Balasan Tuhan itulah yang sentiasa diharapkan oleh setiap orang yang beriman. Sebab iman pasti menimbulkan amal dan ia sentiasa diperbaharui dengan perkara-perkara yang mulia".
Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa memohon keampunan Allah dengan berinfak, menahan kemarahan serta sentiasa memaafkan orang lain. Amin.