Berita Harian Online - Rabu, 07 Oktober 2009
Ikuti tulisan Mansor Puteh mengenai usahanya mencari jejak awal Tunku ketika berusia 16 tahun di London.
TUNKU bersama sahabatnya ketika bergelar pelajar.
Tidak banyak diketahui mengenai sejarah Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ketika kecilnya, termasuk kesukaannya bercampur dengan budak-budak kampung. Malah, tidak ramai juga tahu Tunku pernah menyewa bilik di sebuah gereja dan paderi turut menjadi gurunya.PERDANA Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang juga Bapa Kemerdekaan ada nama jolokan atau samaran diberikan ahli keluarganya iaitu 'Budak Hitam' disebabkan kulitnya hitam, tidak seperti adik-beradiknya yang lain.
Ia juga disebabkan dia lebih gemar bercampur dengan budak-budak kampung sehinggakan Tunku juga dikenal sebagai Budak Kampung.
Memang perkara ini tidak penting kalau kita lihat dan mengkaji mengenai kehidupan Tunku, sebab sudah pasti sebagai Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama yang banyak berjasa kepada negara, kisah seperti ini boleh dianggap enteng, atau tidak penting.
Tetapi, tidakkah kita sedar bahawa kenakalan dan keterasingan daripada keluarga dan bergaul dengan ‘kanak-kanak kampung’ itu, sehinggakan dia serasi dengan mereka dan dapat berasakan kehendak dan kekurangan mereka itu yang boleh dianggap sebagai pendorong untuknya mencapai kemerdekaan untuk negara pada masa depan?
Mungkin ditakdirkan dia gemar bergaul dengan kaum marhain dan tidak bangsawan seperti dia sendiri. Tidak terkejut juga kalau isteri pertamanya ialah seorang gadis Cina yang langsung tidak fasih bercakap dalam Bahasa Melayu dan Inggeris dan dia adalah anak kepada seorang tuan punya kedai basikal di Alor Setar.
Dia ialah ibu kepada kedua anak Tunku iaitu Tunku Khadijah dan Tunku Nerang yang saya sekeluarga sering dan gemar memanggil dengan nama jolokan atau singkatan iaitu Tunku Chik dan Tunku Ang.
Boleh dikatakan juga tidak ramai pakar sejarah di negara yang membuat kajian mengenai cara hidup Tunku di England, ketika dia ke sana dalam usia yang kecil, hanya 16 tahun saja dan dihantar merantau hidup sebatang kara belajar dengan guru peribadi di sebuah pekan kecil di sana yang dinamakan Little Stukeley, sebelum dia berjaya ke Universiti Cambridge yang kini dianggap sebagai universiti terulung seluruh dunia.
Tidak hairan kalau pakar sejarah lebih menumpukan perhatian mengenai apa yang beliau buat untuk mencapai kemerdekaan dan kisah seperti ini sering dijadikan bahan buku, rencana dan tidak lama dulu dalam bentuk filem.
Ia ialah kisah biasa mengenai kejayaan luar biasanya. Berbanding dengan ini, saya mahu menceritakan bagaimana saya terserempak di Little Stukeley dan Cambridge mencari jejak tapak awal Tunku, sebagai remaja bawah lebih 16 tahun yang berani mengharungi lautan luas dengan kapal selama tiga hingga empat minggu, yang dihempas ombak tinggi yang boleh membuat lelaki lebih dewasa daripadanya muntah.
Gambar kiri, Tunku ketika zaman persekolahan. Gambar kanan, Mansor (tengah) bersama Shahreza dan pemilik The Old Rectory, Carmilla Payne di depan bangunan yang pernah menjadi bilik sewa Tunku.
Tunku mengharungi kehidupan yang tidak biasa. Kehidupannya di Tanah Melayu juga tidak biasa. Dia dihantar ke Bangkok untuk belajar bersama rakan-rakan lain keturunan Siam dan beberapa orang daripada mereka turut ke Cambridge dan kemudian bertemu di sana.
Tunku menyewa sebuah bilik di bangunan yang dipanggil The Old Rectory di Little Stukeley. Saya dapati pekan ini begitu kecil. Sekarang ini ada mempunyai 23 keluarga. Bayangkan pada 1919 dulu ketika Tunku tiba di sana, sudah pasti jumlah keluarga di situ lebih kecil.
Bangunan ini sebenarnya sebahagian daripada sebuah gereja yang penting di daerah ini. Paderinya mengajar Tunku dan beberapa pelajar lain secara peribadi.
Sudah pasti Tunku pada masa itu tidak tahu bercakap dan menulis dalam bahasa Inggeris dan gurunya mengajar sehingga mendapat kejayaan akademik yang baik dan boleh bertutur dan menulis dalam bahasa ini dengan cekap sehinggakan sudah pasti loghat Inggerisnya terbawa-bawa hingga dia balik ke Tanah Melayu.
Orang Melayu tentu khuatir kalau ada orang lain mahu menghantar anak kecil mereka ke England untuk belajar dengan paderi dan tinggal di bangunan yang dimiliki gereja tanpa kawalan. Mereka khuatir anak mereka akan terpesong akidahnya. Ini tidak berlaku kepada Tunku.
Malah ia menguatkan semangat serta agamanya, sehinggakan pada lewat usia, dialah orang yang menubuhkan Perkim dan dengan sendiri mengetuai upacara pengislaman untuk bukan Islam. Kejayaan ini tidak pernah diulang oleh perdana menteri kemudian daripadanya.
Lawatan saya ke England baru-baru ini berjaya menyingkap sedikit-sebanyak rahsia peribadi Tunku. Tahukah kenapa Tunku amat berminat dengan sukan berkuda? Dia tidak bertaruh, sebab dia ada wang yang cukup sebagai pelajar di England yang hidup luar kampus dengan begitu mewah sekali.
Jawapannya ialah tidak jauh dari Little Stukeley ada sebuah padang lumba kuda. Saya terkejut dan rasa tidak hairan apabila saya melihat papan tanda padang lumba kuda itu ketika keluar dari Little Stukeley, dan terus menyuruh anak saudara saya, Shahreza yang memandu kereta sepanjang kami mengembara di England dengan ditemani seorang rakan dari Malaysia, Ajar Mohammed yang sudah lama menetap di negara ini untuk pergi ke padang itu.
Tidak ada seekor kuda yang ada di situ sebab hari itu bukan hari perlumbaan.
Kenapa Tunku berminat dengan permainan bola sepak sehingga berjaya menyertai pasukan bola sepak di Universiti Cambridge? Soalan ini akan dijawab di bawah.
Sebelum itu biar saya menceritakan bagaimana saya berjaya mencari bangunan The Old Rectory di Little Stukeley. Saya rasa cemas dan khuatir bangunan ini sudah runtuh dan hilang di muka bumi. Maklumlah ia dibina pada 1826. Ia bukan sebuah bangunan yang baru.
Malah, gereja yang tersergam dekatnya sudah tiada. The Old Rectory juga mengalami nasib sama, sebab tiga tahun dulu (2006), keadaannya amat mengecewakan dan ia hampir runtuh. Pihak berkuasa di sini mahu memusnahkan bangunan itu sebelum ia membawa kematian kepada orang awam.
Nasib baik, seorang lelaki Inggeris dan isterinya, Carmilla Payne sanggup membeli bangunan usang ini dan merayu kepada pihak berkuasa untuk membenarkan mereka memulihkannya. Sekarang ini bangunan itu berdiri megah dalam keadaan yang hampir sama.
Kami berdua memandu dengan perlahan untuk mencari tempat ini pada musim panas yang agak dingin iaitu suhunya tidak panas sekitar 15 hingga 18 darjah Celsius yang agak dingin.
Kami buat kesilapan dan tersilap arah sehingga melepasinya. Dengan bantuan orang awam, kami berpatah balik dan cari bangunan itu di sebelah kanan.
Kami masuk ke sebuah lorong sempit dan terserempak dengan seorang wanita Inggeris yang agak dewasa menunjukkan bangunan itu yang terletak tidak jauh dari kami.
Dia juga berkata, memang betul paderi di The Old Rectory itu menyewa bilik kepada pelajar asing yang datang untuk belajar secara peribadi dengannya.
Ini berlaku sehingga 1940an. Tetapi dia pasti tidak kenal penyewanya, khususnya Tunku yang ke sana sebelum wanita itu dilahirkan.
Kami memandu dan pergi ke arah bangunan itu dan tidak berapa lama kemudian kelihatan ia tersergam seperti gambar lama yang saya bawa untuk dijadikan panduan.
Kami terus keluar dari kereta sewa dan pergi ke rumah itu. Pintunya di mana? Kanan? Tidak. Ada anak tangga di sebelah kiri, dan Ajar serta Shah terus pergi ke sana sambil saya membuat rakaman. - Bersambung