Followers

Saturday, May 8, 2010

Cover story: Tak luntur semangat

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
2010/05/02 - Berita Harian Online


Dayang Nurfaizah dan Lan pasang strategi baru untuk bertahan dalam industri muzik

ANDAI kata liku-liku hidup sebagai anak seni mudah dan mampu memberi kekayaan dan kemewahan dalam sekelip mata, mereka tidak perlu bekerja keras lagi. Artis jolokan Beyonce Malaysia, Dayang Nurfaizah, 29, dan vokalis kumpulan Azlan & The Typewriter, Lan, 28, sudah lebih sedekad mengabadikan diri sebagai penyanyi, namun hidup mereka tidak seindah digambarkan.

Jika ada yang menganggap dunia selebriti dilingkari kehidupan hebat - tinggal dalam kediaman mewah, memandu kereta besar, pakai baju berjenama dan makan di hotel bertaraf lima bintang, ia sekadar `fantasi’ mereka. Hakikatnya, tidak semua artis mampu mengecapi hidup mewah tanpa mendaki satu persatu tangga yang berliku. Malah apa yang diperlihatkan dalam program realiti hari ini juga khayalan yang boleh menyesatkan fikiran. Mereka seolah-olah hidup dalam alam fantasi, sedangkan realitinya, hidup anak seni tidak seindah dan semewah yang digambarkan. Bak kata pepatah Melayu, untung sabut akan timbul, sebaliknya untung batu pula akan tenggelam.

Semakin bijak mengatur bicara, Dayang yang turut terbabit dalam program realiti Mentor musim keempat mengakui: “Siapa kata hidup sebagai artis ini mudah dan boleh cepat kaya? Bagi saya, tiada kejayaan yang datang bergolek tanpa berusaha keras. Apa yang saya miliki hari ini adalah hasil usaha saya tanpa mengenal erti penat selama sedekad lamanya.

“Hidup artis tentunya ada pasang surut, saya juga pernah melaluinya tetapi berbekalkan bakat yang dianugerahkan, saya bangkit, enggan mengalah dan menyusun strategi supaya diri tidak diketepikan. Kini, pejam celik saya bagaikan tidak percaya sudah 10 tahun bergelumang dalam dunia hiburan.

“Bagaimanapun, saya kecewa dengan sesetengah bakat baru yang begitu terkejar-kejar mahu mencipta nama sebagai penyanyi, sedangkan bakat tidak seberapa. Ketika uji bakat Mentor 4, saya terkilan ada antaranya yang ingin jadi penyanyi disebabkan mahu cepat kaya dan disanjung peminat.
“Ada pula yang mahu mengubah nasib dan ingin membawa ibu bapa ke Makkah. Jauh di sudut hati saya terdetik, ada banyak lagi pekerjaan lain boleh membuatkan seseorang mengubah nasib dan peroleh rezeki. Jika menyanyi ke laut, cubalah cermin diri dulu sebelum menyertai uji bakat. Bayangkan, saya membuang masa selama hampir 14 jam untuk mencari seorang anak didik.

“Daripada 200 orang, hanya enam saja yang tersenarai pendek, itupun bakat mereka hanya biasa, tiada yang luar biasa. Kebanyakan mereka datang dengan tidak bersedia, malah lebih teruk ada yang datang memakai selipar Jepun, seluar pendek, selekeh dan wajah pula seperti orang baru bangun tidur. Mereka tidak serius langsung dan hanya suka-suka.”

Pemilik nama Dayang Nurfaizah Awang Dowty itu berkata, dia bertemu dengan protegenya, Adi dari Kuching, Sarawak secara tidak sengaja. Pemilihan Adi bukan disebabkan mereka sekampung tetapi hanya Adi dapat membuka pintu hatinya.

“Adi sememangnya dilahirkan sebagai penyanyi. Walaupun Adi dan keluarganya suka menyanyi, tetapi dia tidak pernah tergerak hati menyertai mana-mana pertandingan sehingga bertemu dengan saya. Adik Adi, Ila turut terpilih sebagai protege Joe Fizzow. Yang membuatkan saya terkejut, bapa Adi siap membelikan peralatan muzik dan `sound system' untuk anak-anak yang suka menyanyi. Insan inilah yang dicari, saya tidak mahu mendidik mereka yang ingin mengejar populariti dan mencari kekayaan, sebaliknya saya mahu mencungkil bakat mereka yang boleh mengabadikan diri dalam industri hiburan," katanya yang sibuk dengan rakaman album terbarunya.

Selain itu, Dayang turut tercalon dalam tiga kategori Anugerah Industri Muzik (AIM 17) iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Rakaman Album Terbaik dan Album Pop Terbaik. “Bohonglah kalau saya tidak mengharapkan kejayaan. Semoga saya mendapat keberkatan dengan memperoleh kejayaan sempena ulang tahun ke 10 pembabitan saya dalam dunia nyanyian," katanya ringkas.

Lan akui belajar dari kesilapan
AZLAN atau Lan yang menempa dengan fenomena baru muzik indie pula mahu terus berjuang bersama kumpulan barunya, Azlan & The Typewriter walaupun dalam usia setahun jagung dalam dunia mainstream sudah ditimpa kontroversi. Bagaimanapun, Lan bernasib baik biarpun tercalit sejarah hitam dalam diari kehidupan, peminat masih memberi sokongan disebabkan bakatnya. Suaranya yang unik jarang dimiliki penyanyi lain.

Secara jujur, Lan akui: "Saya mahu membuktikan saya tidak bermasalah seperti yang dianggap. Saya banyak belajar dari kesilapan dulu, sedaya upaya saya tidak mahu orang lain mencari salah saya. Apa yang saya belajar, mulut orang sememangnya boleh menjadi perosak reputasi saya.

"Saya dianggap terkena `kejutan budaya' ketika bersama kumpulan Meet Uncle Hussain, tetapi apa yang nak saya terkejut. Saya bukan baru dalam dunia hiburan, saya menyambut ulang tahun ke 10 dalam industri muzik tahun ini. Kalau dilihat penampilan, saya masih sama, simple dan saya pakai apa saja, tidak hanya pakaian berjenama.

"Saya bangkit dengan Azlan & The Typewriter, saya uruskan kumpulan saya sendiri. Alhamdullilah, Tuhan Maha Kuasa, saya masih ada tempat di hati peminat dan penggiat dalam dunia hiburan. Saya tahu saya pernah susah dulu, saya tak mahu pisang berbuah dua kali, jadi Azlan & The Typewrite taruhan saya.

"Terus-terang, saya tak pernah menyesal meninggalkan Meet Uncle Hussain, malah saya fikir itulah jalan terbaik sebelum saya jatuh terduduk. Tahun lalu, saya hampir terduduk dengan apa yang berlaku, tetapi saya yakin dengan perjuangan saya. Tidak sedikitpun terdetik di hati nak meninggalkan dunia nyanyian, malah saya fikir bagaimana saya mahu bangkit semula.

"Syukurlah, saya mampu lakukannya dengan semangat keluarga, rakan-rakan dan peminat. Apa yang saya lalui, seharusnya dijadikan iktibar buat mereka yang ingin bergelar penyanyi. Laluannya tidak mudah. Jangan fikir dunia artis indah belaka, kalau tiada kekuatan diri dan bakat pula hanya tidak seberapa, carilah pekerjaan lain yang lebih menjamin kehidupan."

Anak kelahiran Hulu Langat, Selangor itu berkata, dia juga serius dengan hala tuju muziknya kerana kumpulan Azlan & The Typewriter menggunakan namanya di permulaan. Dulu ketika masih bersama Meet Uncle Hussain, karyanya agak terbatas, kini semuanya terletak di tangannya.

Agak berisi dan wajahnya semakin ceria, Lan akui: "Saya tegas dan mementingkan disiplin dengan anggota Azlan & The Typewriter, saya tidak mahu kerja main-main. Saya tidak mahu ada yang menyamakan saya dulu dan sekarang. Ini masa depan saya dan anggota lain. Cukup-cukuplah dulu reputasi saya terjejas dek kerana tiada persefahaman dan toleransi sesama anggota, kini saya mahu maju ke depan dan membuktikan saya tidak seteruk mana.

"Saya bersyukur pencipta Lagu Untukmu, Tassiq Saidi Hashim mahu terus bekerjasama dengan saya, malah pemain dram Meet Uncle Hussain, Bakri turut menyertai Azlan & The Typewriter. Selain saya dan Bakri, Azlan & The Typewriter turut dianggotai Daud (gitar) dan Ku (bass).

"Album pertama kami, Peta Minda yang menampilkan 10 lagu ciptaan Tassiq dan saya akan berada di pasaran pada Julai nanti. Kami mengambil masa selama hampir lima bulan menyiapkan rakaman album ini. Selain single pertama, Kelibat Si Penyair, lagu lain yang dimuatkan ialah Gelora Hati, Mesin Waktu, Apa Ini, Lipstick, Plastik & Kosmetik dan banyak lagi."

Selain itu, Lan juga bersyukur mendapat dua pencalonan dalam kategori Artis Baru Terbaik dan Lagu Rock Terbaik dalam AIM17. Tidak mengharapkan kemenangan memadailah dengan tercalon dalam anugerah berprestij yang mengiktiraf hasil kerja pengkarya dan penggiat seni hiburan. AIM17 akan bersiaran secara langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, jam 8.30 malam dan boleh ditonton menerusi ntv7.

INFO: Lan
Nama: Nor Azlan Rosle
Tarikh Lahir: 20 April 1982
Usia: 28 Tahun
Keluarga: Anak sulung daripada lima beradik
Asal: Hulu Langat, Selangor
Pencapaian: Juara keseluruhan, Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23), TV3 Kumpulan: Azlan The Typewriter
Lagu: Kelibat Si Penyair
Album: Peta Minda (dijangka berada di pasaran Jun 2010)

INFO: Dayang
Nama: Dayang Nurfaizah Awang Dowty
Usia: 9 Tahun
Tarikh Lahir: 20 Julai 1981
Album: Dayang Nurfaizah (1999), Seandainya Masih Ada Cinta (2001), Di Sini Bermula (2002), Hembusan Asmara (2002), The Best Of Dayang Nurfaizah (2003), Need A Break (single), Dayang Sayang Kamu (2004), Kasih (2006), Buat Kamu - Repack (2006), Dayang (2007) & Dayang 2008 Live (2009).
Pencapaian: Juara Bintang Remaja Asli Kuching (1996), juara Golden Teen Search RTM (1997), Juara Bintang Remaja Kuching (1997), Juara Bintang Penghibur HMI (2001), Juara Kategori Lagu Popular/Seandainya Masih Ada Cinta/Anugerah Planet Muzik (2001), Juara Kategori Balada/Seandainya Masih Ada Cinta/Anugerah Juara Lagu (2001), Lagu Sepanjang Tahun/Seandainya Masih Ada Cinta/AIM (2002), Juara Kategori Etnik Kreatif/Erti Hidup/Anugerah Juara Lagu (2004), Juara Muzik Global/Erti Hidup/Anugerah Era (2005) dan Juara Kategori Kejuruteraan Album Terbaik/Kasih/AIM (2006)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails