Followers

Tuesday, May 11, 2010

Pasca hidup Aznil selepas pemergian Din

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AIZZUL A. MAJID

KEMBALINYA Aznil ke konti radio selepas bercuti hampir sebulan adalah kerana peminat dan pendengar setia radio Era.
TERASA pantas masa berlalu dan tanpa disedari rupanya sudah sebulan selebriti versatil, Allahyarham Din Beramboi meninggalkan kita semua.
Tarikh 2 April 2010 pastinya memberikan satu kenangan yang tidak dapat dilupakan buat semua pihak termasuk keluarga, sahabat handai, peminat mahupun teman artis.
Bagi mereka, Allahyarham Din atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri umpama sinaran yang menerangi hari mereka di kala mereka berduka.

Selain keluarga, antara yang paling terkesan dengan pemergian Allahyarham Din ke rahmatullah ialah pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi.
Sehingga ke hari ini pun, jikalau berbicara dengan Aznil, 48, tentang sahabat karibnya itu, riak sedih pasti akan terpancar di wajahnya.
Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu lagi bersedih dan meratapi kehilangan arwah, tetapi Aznil tidak mampu untuk menolak saat memori yang tercipta singgah di kotak fikirannya.
Bukan sedikit kenangan antara Aznil dan sahabatnya itu. Jika hendak ditumpahkan di atas kertas, ia mampu menjadi novel bersiri yang tidak terhitung jumlahnya.

Secara lahiriah, mungkin ramai beranggapan hubungan Aznil dan Allahyarham Din hanyalah sekadar teman artis yang hanya memerlukan ketika suka sahaja.
Tetapi sebenarnya tidak. Persahabatan yang terjalin lebih 15 tahun itu melangkaui segala-galanya.
Hubungan mereka penuh dengan canda, tangis, ketawa dan duka. Tidak kurang juga, ada ketikanya mereka saling membenci tetapi kebencian itu diibaratkan benci-benci sayang.
"Hampir sebulan, saya berehat dan diberi cuti oleh majikan untuk menenangkan fikiran agar saya dapat mencari semangat baru untuk kembali bekerja.
"Selama setahun setengah yang lalu, punca kekuatan yang menolak saya untuk bangun dan pergi ke tempat kerja adalah daripada Allahyarham Din.
"Tetapi, kini semuanya sudah berubah. Saya kena bangkit sendiri dan menolak diri saya untuk meneruskan kehidupan tanpa adanya arwah lagi di sisi saya," demikian luahan hati Aznil dalam satu pertemuan di ibu pejabat Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, minggu lalu.
Menyambung bicara, Aznil cukup sedar dia tidak boleh terlalu lama bersedih dengan kehilangan sahabatnya itu.

Baginya, kehidupan perlu diteruskan dan dia sendiri melihat keluarga arwah juga sudah dapat menerima hakikat dan meneruskan kehidupan mereka.
Kerana itu, dia tidak mahu menunggu lama untuk kembali bertugas dan bermula 28 April lalu, Aznil memulakan semula tugasnya sebagai penyampai radio popular itu.
Bukan pada slot pagi seperti kebiasaannya tetapi untuk tempoh dua minggu dari tarikh itu, Aznil cuba untuk menyesuaikan dirinya dengan rutin baru apabila ditugaskan pada waktu petang pula.
Memang sukar sedikit kata Aznil, pada mulanya untuk menyesuaikan diri dengan slot kerja yang baru.
Apatah lagi, dahulunya bekerja berdua tetapi kini keseorangan ada ketikanya Aznil membayangkan teman seperjuangannya itu masih berada di sisinya.

Masih jelas di fikiran Aznil bagaimana gelagat Allahyarham Din ketika di konti yang membuatkan Aznil tersenyum sendirian apabila terkenangkan memori itu.
"Masa mula-mula masuk kerja selepas bercuti, saya dapat bayangkan dia masih lagi di situ di atas kerusi yang ada di dalam konti.
"Semuanya masih tebal di kotak minda saya setiap kali teringatkan tingkah-laku serta gerak-gerinya di dalam studio.
"Bukan itu sahaja, haruman minyak wangi yang sering dipakai arwah juga masih melekat di hidung saya apabila berada di tempat kerja," cerita Aznil dalam nada yang sedikit sebak.

Mencari pembaharuan
Mendengar pengalaman Aznil itu, sudah jelas membuktikan ikatan perhubungan yang terjalin antara Aznil dan Allahyarham Din sememangnya begitu kuat sehingga maut memisahkan mereka.
Tetapi, selepas beberapa hari melalui rutin yang baru, Aznil semakin selesa dengan kedudukannya di waktu petang untuk menghiburkan peminat setia radio itu.
Selain itu juga, Aznil seharusnya juga mengucapkan terima kasih kepada peminat setianya yang tidak pernah berhenti menyokongnya.
Bagi anak jati Kuala Lumpur ini, apabila membaca, melihat dan mendengar komen mereka menerusi khidmat pesanan ringkas serta laman web sosial seperti Facebook membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk terus bekerja.
"Ternyata mereka masih lagi mahukan saya untuk kembali ke corong radio dan mewarnai hari-hari mereka menerusi celoteh saya," katanya sambil mengukir senyuman di wajahnya yang bagaikan tidak dimamah usia itu.

Kembali ke konti radio dan bekerja mengisi slot dari pukul 4 petang hingga 8 malam itu adalah atas perbincangan yang dilakukan antara Aznil dan stesen radio itu.
Akui Aznil, dia sendiri mahu bekerja untuk slot petang demi mencari pembaharuan dalam kerjayanya sebagai penyampai radio selepas pemergian Allahyarham Din.
Semuanya adalah kerana dia tidak mahu berterusan diburu kenangan bersama arwah jika terus berada di syif pagi.

Tetapi, hajat Aznil untuk terus berceloteh dengan pendengar radio Era pada waktu petang tidak kesampaian apabila majikannya mahu dia meneruskan legasi segmen pagi bermula semalam (10 Mei).
Kredibiliti yang sudah dibina selama setahun setengah itu nampaknya sukar dikikis dan kepercayaan itu terus diberikan kepada bapa kepada sepasang cahaya mata itu.
Lalu, apabila diberi mandat untuk meneruskan segmen Riuh Pagi Di Era, selebriti ternama ini menganggapnya sebagai satu cabaran baru.
"Siapakah yang akan kekal digandingkan dengan saya semuanya masih samar-samar lagi. Setiap hari, akan ada individu yang berbeza untuk berganding dengan saya sehingga pihak Era sudah mencari mereka yang sesuai.
"Kalau ditanya kepada saya, adalah lebih molek jika formula baru diperkenalkan untuk memberikan santapan baru buat pendengar setia radio Era dan tidaklah nampak terlalu klise.
"Kita tidak mahu pendengar membuat perbandingan antara arwah dan individu yang bakal menggantikan tempatnya nanti," katanya jujur memberikan pandangan peribadinya.

Bagi diri Aznil sendiri, dia sebenarnya tidak kisah untuk digandingkan dengan sesiapa tetapi dia perlu mengambil masa untuk membina keserasian dengan pasangannya nanti.
Tidak mahu sesiapa berkecil hati, kata Aznil, itu adalah caranya dalam bekerja dan dia juga percaya setiap individu itu mempunyai keistimewaan serta kelebihan yang tersendiri.
Dalam duduk bersembang dengan Aznil, penulis sempat mengusiknya adakah dia sudah bersedia untuk ditukarkan ke stesen radio Melayu lain naungan AMP Radio Networks selepas tiga tahun bersama Era.

Dengan usianya yang sekarang ini, stesen radio yang dilihat sesuai dengannya adalah Sinar FM dan sambil tersenyum, Aznil hanya menganggukkan kepalanya.
"Saya tidak mempunyai masalah untuk ditukarkan ke mana-mana radio sekalipun. Kalau ke Sinar FM, saya tidak kisah malah saya suka seandainya khidmat saya diperlukan di sana.
"Konsep yang diketengahkan oleh stesen radio itu benar-benar sesuai dengan jiwa saya kerana lagu-lagu yang diputarkan itu sendiri mempunyai kenangan tersendiri buat saya," ujar Aznil yang juga pengkritik tetap Akademi Fantasia musim kelapan ini lagi.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails