2010/05/01 - Metro Online
roslenmetro@yahoo.com
BULAN dan minggu ini, banyak sekali konsert, showcase, majlis anugerah, dinner dan luncheon show mengisi diari hiburan kita. Siapa kata hiburan kita dah merudum atau lumpuh? Walaupun album kian kurang, ada artis makin kaya-raya dan hidup atas show. Itu rezeki masing-masing bukan?
Yang nyata boleh lumpuh jika gunung berapi macam Eyjafjallajokull meletup kerap kali sebab kalau itu berlaku, ramai manusia boleh mendapat kesannya tidak kira artis atau pemandu pelancong. Baru satu ceruk meletus, habis satu dunia jadi panik sekejap.
Anda sendiri nampak, selesai saja Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) bersusun-susun acara dilangsungkan. Ada pertunjukan percuma tetapi lebih banyak yang kena buka dompet. Malah kata Kak Cham, Pengarang Hiburan Berita Harian, kelmarin, tiket percuma ABPBH2009 pun ada orang cuba kaut untung dan dijuak secara 'black market' di Arena of Stars. Memang otak penaya betul ulat-ulat konsert dan 'award show' tu. Apa nak kata, ada pula tukang belinya! Saya sebenarnya banyak terlepas menonton persembahan superstar kita khususnya untuk menyambut Minggu Setiausaha sebab dihambat 'deadline'. Yang sempat lari sekejap pun show Anita Sarawak, Sheila Majid dan Kak Pah.
Jamal Abdillah di Menara KL, Kelly Clarkson di Bukit Jalil, Siti Nurhaliza & KD di Shah Alam mahupun Agnes Monica di Jalan Duta, semuanya setakat telan air liur saja. Undangan tinggal undangan kerana kesibukan tugas di pejabat tetapi anak buah tetap saya tugaskan untuk membuat liputan. Harapnya jangan ada yang tertinggal.
Lebih 'menghampehkan', konsert Akademi Fantasia (AF) sekali pun tak sempat saya tengok secara live musim ini kerana pada Sabtu bulan ini, ada saja agenda bertembung. Mujurlah ada siaran ulangan di Astro Ria dan sekurang-kurangnya kenal juga siapa dia Maulana, Daus, Adira dan Iwan.
Bukan hendak mengata, ke mana hilangnya aura AF? Bukannya tidak perkasa tetapi tidak lagi berbisa! Kalau anda tanya saya kenapa, saya rasa perubahan demi perubahan yang cuba dilakukan oleh pihak Astro semacam menjirus cuka kepada AF itu sendiri. Kesilapan paling besar musim ini barangkali adalah keputusan penyingkiran diumumkan sehari selepas konsert. 'Memang potong stim beb,' kata kawan saya. Maklum sajalah, selama ini kita disogokkan dengan drama tarik beg yang berlaku pada satu malam, sekarang semua kena tunggu macam soap opera. Bagi saya, tak semua show boleh kita buat penamat 'clifthanging'. Malam ini orang lapang, esok mungkin ada hal. Benda sekali gus kesannya lain macam.
Dengan erti lain, segala yang menuju puncak itu patut dibereskan pada malam yang sama juga. Sebab itulah agaknya Astro sampai kena buat konsert susulan pada malam debaran semata-mata untuk menarik orang datang ke Dewan Sri Putra. Tapi siapa tahu, format 'prolong' itu menjadikan Astro dan pihak telco lebih untung kot? Huh, banyak pula saya menulis mengenai AF? Ingat nak sentuh satu perenggan, tapi apabila usik, mulalah terlupa ruang yang ada dan saiz iklan yang sudah ditempah pada 'dummy' akhbar ini.
Tapi percayalah, kita semua bercakap mengenai AF sebab masih sayangkan AF. Kalau tidakm peduli apa, lantaklah apa nak jadi pun! Malah selepas beberapa minggu, terlihat bahwa Aznil lebih sesuai duduk di pentas daripada menekan butang hijau. Harap musim depan, buatlah banyak post-mortem lagi wahai produser.
Baiklah, kembali kepada berlambaknya acara hiburan, hari ini dan esok juga ada beberapa lagi agenda besar akan berlangsung. Konsert Double Trouble, Konsert Ungu dan malam kemuncak AIM17, semuanya menjerit-jerit mahukan 'attention'. Juga jangan lupa konsert AF8.
Namun, semuanya sekali lagi saya akan terlepas peluang menonton secara live. Sebabnya, saya berada di Dungun, Terengganu untuk Karnival Candat Santai Metro-LKIM 2010 bersama sekumpulan artis. Kita di sini sedang bersuka-sukaan bermain ombak dan mengejar sotong. Dari jauh, kita tetap mendoakan semua acara di KL berjaya.