Followers

Saturday, April 24, 2010

Mahu lempar jauh kisah lalu



LAN (kiri) bersama tiga pemuzik yang mengiringi setiap persembahannya kini iaitu (dari kiri) Ku, Daud dan Bakri.


BEGITU pantas masa berlalu dan kini hampir setahun anak muda berbakat besar ini meladeni kehidupan seni sebagai penyanyi solo.
Dalam tempoh itu jugalah, dia cuba membina kembali namanya dengan jenama baru iaitu Azlan & The Typewriter.

Sebaik sahaja mengambil keputusan untuk bergerak secara solo, ramai yang mula menilik nasibnya apakah dia mampu mengecapi kegemilangan yang sama seperti ketika bersama bekas kumpulannya, Meet Uncle Hussain (MUH).

Namun, bagi Nor Azlan Rosle atau lebih dikenali sebagai Lan, dia sedar bahawa perjalanan seninya selepas meletakkan jawatan sebagai vokalis MUH, kehidupannya terumbang-ambing.
Dia bagai hilang arah dalam menakhodai bahtera di lautan seni yang tidak selalunya tenang seperti yang disangka.
Malah, dia sedar juga akan bayangan MUH masih lagi melekat pada dirinya dan begitu juga dengan peminatnya yang masih lagi melabelkannya sebagai vokalis kumpulan indie ternama itu.
Tetapi bagi Lan, memasuki usia tujuh bulan selepas menjenamakan dirinya sebagai Azlan & The Typewriter, dia sudah nampak akan perubahan yang berlaku.

Kerana itu dia bersyukur dengan rahmat yang dikurniakan kepada dirinya selepas melalui episod 'duka' yang hampir meranapkan karier seninya.
"Saya harus akui kini jadual seni saya semakin padat dengan pelbagai undangan persembahan yang perlu saya penuhi.
"Jika dulu, bukan sembarangan persembahan boleh saya ambil tetapi kini semuanya berubah.
"Alhamdulillah, rezeki saya pun semakin murah. Bukan itu sahaja, sedikit demi sedikit imej lama saya mula terhakis dan baru kini orang mula nampak saya sebagai Azlan & The Typewriter," luah Lan penuh jujur sewaktu ditemui pada sesi fotografi yang berlangsung Taman KLCC, di ibu negara lewat petang Isnin lalu.

Bagi Lan yang semakin berisi ini, dia sedar apabila keluar dari MUH, dia perlu berdikari dan merencana agenda seninya dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa.

Proses pembelajaran
Tetapi, semua itu kata Lan, adalah proses pembelajaran untuk membina semula namanya di samping memperkenalkan muzik yang baru kepada masyarakat.
Berpeluang duduk dan menghabiskan masa bersama anak kelahiran Kangar, Perlis ini mendengar celotehnya sudah cukup menampakkan kematangannya.
Malah, dia sendiri akui sepanjang hampir setahun ini dia sudah melalui pelbagai pengalaman yang telah meningkatkan sifat kendiri bukan sahaja sebagai seorang anak seni tetapi juga individu.

Pernah dihambat dengan pelbagai kontroversi dan cerita kurang enak tentang dirinya yang bertebaran di segenap maya, Lan menganggap semua itu sebagai azimat untuknya maju ke depan.
"Memang bukan apa yang kita lakukan akan digemari oleh semua orang dan begitu juga dengan saya.
"Bukannya saya tidak pernah dikritik oleh peminat yang merasakan kuasa saya sebagai penyanyi dan muzik yang saya bawakan sekarang ini tidak begitu kuat.
"Saya menerima semua itu seadanya dan menganggapnya sebagai pembakar semangat untuk saya melakukan yang terbaik.
"Juga, saya akan pastikan mereka akan suka dengan apa yang saya lakukan sekali gus menangkis segala persepsi mereka terhadap saya," ujarnya yang mendapat reaksi pelbagai terhadap single pertamanya, Kelibat Si Penyair.

Lagu buat Siti Nurhaliza
Sambil tersenyum, Lan memberitahu peluang berduet dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza untuk persembahan pembukaan Anugerah Juara Lagu Ke-24, Januari lalu merupakan pencapaian terbaiknya sepanjang menjadi anak seni sejak tahun 2004.
Betapa tidak, bukan mudah untuk artis baru sepertinya diberi peluang membuat persembahan bersama penyanyi tersohor itu dan apabila momen datang kepadanya, ia bagaikan pucuk dicita ulam mendatang.
"Saya memang kagum dengan Siti dari segi bakat dan juga keperibadiannya dan tidak malu saya katakan dia adalah idola saya.
"Dia memang tidak pernah gagal memberikan persembahan yang baik dan bayangkan ketika itu, saya yang paling berdebar kerana bimbang akan mengecewakan dia.
"Saya cukup menghormatinya dan saya memang menunggu peluang untuk bekerjasama lagi dengannya. Malah, saya sendiri ada menyimpan sebuah lagu yang saya cipta khusus untuknya," ujarnya dalam nada bersungguh.

Tidak menaruh harapan
Dalam masa yang sama, Lan turut diminta mengulas tentang dua pencalonan yang diteriman untuk Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) yang akan berlangsung pada 2 Mei ini.
Tahun ini, Lan dicalonkan untuk Artis Baru Terbaik dan Lagu Rock Terbaik untuk lagu Kelibat Si Penyair.
Sejujurnya, Lan tidak mahu meletakkan harapan tinggi tahun ini, malah dia sendiri yakin dia tidak akan berpeluang merangkul sebarang trofi.
Ini kerana kata Lan, saingannya dalam dua kategori itu terlalu kuat dan bukan calang-calang nama yang bertanding.
Untuk Artis Baru Terbaik, Lan akan berdepan dengan empat calon lain iaitu Bunkface, Prema Yin, Tomok dan Yuna.
Mungkin ada yang terlupa, Lan bersama MUH pernah memenangi kategori ini tahun lalu dan kali ini, sekali lagi Lan tercalon tetapi atas tiket solo.

Manakala kategori Lagu Rock Terbaik pula, Kelibat Si Penyair bersaing hebat dengan lagu Situasi (Bunkface), Bencinta (Faizal Tahir), Mencari Konklusi (Hujan) dan Drama King (MUH & Black).
"Untuk Artis Baru Terbaik, saya memang yakin ia akan menjadi milik Yuna yang saya sifatkan seorang penyanyi dan komposer yang berbakat besar.
"Keunikan Yuna adalah dia membawa muzik dan bakatnya ke depan terlebih dahulu sebelum dirinya sendiri.
"Itu memang amat jarang kita lihat dalam senario muzik masa kini dan bagi saya, kalau dia mahu menjadi seorang yang demanding sekali pun, dia memang berhak berbuat demikian kerana dia jujur," ujarnya yang akan melangsungkan perkahwinannya pada bulan November ini bersama tunangnya, Normala Hassan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails