Oleh Anwar Hussin, Shaarani Ismail dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my
2010/04/08
Menteri nasihat usah percaya ‘formula’ mudaratkan kesihatan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menolak tanggapan merokok mampu menurunkan berat badan seperti kepercayaan segelintir wanita di negara ini, yang menghisap rokok semata-mata ingin menjaga badan untuk kelihatan kurus.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan bimbang dengan peningkatan penghisap rokok di kalangan wanita sejak kebelakangan ini berpunca daripada kepercayaan itu dan mereka seharusnya merujuk kepada klinik atau hospital kerajaan bagi mendapatkan kaunseling.
“Berdasarkan kajian, bilangan perokok wanita kini meningkat dan ini satu trend membimbangkan. Tanggapan menyatakan menghisap rokok dapat kuruskan badan adalah tidak berasas,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol).
Beliau terlebih dulu menjawab soalan asal dikemukakan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mengenai langkah mengatasi kegemukan melampau atau obes yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit.
Katanya, jururawat dan penolong pegawai perubatan juga diberi kuasa untuk memberikan perkhidmatan kaunseling pemakanan dan aktiviti fizikal kepada orang ramai berbanding hanya pegawai perubatan yang boleh berbuat demikian sebelum ini.
“Kita tidak lagi mengehadkan aktiviti memberi kaunseling kepada pegawai perubatan saja seperti sebelum ini bagi meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan berkaitan pengurangan berat badan di klinik kesihatan kerajaan,” katanya.
Selain itu, Liow berkata, kerajaan menempatkan 172 pakar perubatan keluarga di 151 klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara.
“Ini bagi membolehkan individu obes yang turut mengalami penyakit kronik seperti kencing manis dan jantung mendapatkan rawatan pakar dengan mudah", katanya.