07 April, 2010 10:40 AM
Pilih Pendingin Hawa Cekap Tenaga
Oleh Melati Mohd Ariff
KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Apabila cuaca panas menyengat dan suhu bilik meningkat tinggi dan badan mula berpeluh, tidak ada yang lebih menyegarkan selain daripada dapat berada di persekitaran yang berhawa sejuk.
Justeru pendingin hawa semakin menjadi satu keperluan bagi kebanyakan premis dan termasuk premis kediaman kerana alat ini dapat merendahkan suhu kawasan yang tertutup dan menghasilkan suasana nyaman dan selesa.
Permintaan tinggi untuk pendingin hawa turut mendorong banyak syarikat mengeluarkan alat ini dengan pelbagai jenama.
Setiap jenama dipasarkan dengan pelbagai fungsi dan dakwaan keistimewaan, termasuk antibakteria, penjimatan tenaga dan penyahbau.
Memandangkan pendingin hawa menggunakan banyak tenaga elektrik, pengguna perlu membuat pilihan bijak apabila membuat pembelian supaya pelaburan yang dibuat berbaloi dan tidak dibebani bayaran elektrik yang tinggi.
PENYELIDIKAN PASARAN
Bagi membantu pengguna mendapatkan produk yang bukan sahaja berpatutan harganya tetapi cekap tenaga, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan pasaran ke atas beberapa jenama pendingin hawa terpilih.
Menurut Setiausaha Agung WECAM, Piarapakaran Subramanian, sebagai persatuan yang sentiasa memberi perhatian berat kepada kepentingan masyarakat pengguna, pihaknya mengambil inisiatif itu untuk membantu pengguna.
Dalam masa yang sama ia juga boleh mendorong industri untuk menjadi lebih proaktif dalam menyediakan peralatan yang cekap tenaga.
"Isunya ialah supaya pengguna membeli pendingin hawa yang boleh memberi kesan penyejukan maksimum dengan penggunaan elektrik yang minimum serta maklum cara penyelenggaraannya.
"Hasil kajian yang akan diperoleh daripada penyelidikan pasaran ini boleh juga menjadi penanda aras untuk industri memperbaiki produk yang dikeluarkan jika tidak mahu ketinggalan dalam membuat kemajuan.
Laporan penyelidikan WECAM itu yang pertama dihasilkan di negara ini dan pihak berkenaan merancang untuk mengadakan penyelidikan yang sama bagi produk elektrik lain secara terjadual.
Penyelidikan pasaran yang dijalankan oleh WECAM, menurut Piarapakaran juga bertujuan mengenal pasti produk "inisiatif hijau" yang berfungsi untuk membantu pengguna menjadi pengguna lestari.
Kata beliau lagi, teknologi memegang kunci penyelesaian masalah alam sekitar.
KAJIAN KES
Dalam menyediakan laporan penyelidikan pasaran pendingin hawa, WECAM menggunakan faktor harga melawan kecekapan tenaga dan nilai nisbah kecekapan tenaga sebagai perbandingan.
Pendingin hawa yang di kaji adalah daripada jenis biasa dan berinverter.
Lazimnya, kata Piarapakaran, pengguna akan memilih produk paling murah asalkan produk itu dapat berfungsi.
Menurut beliau lagi, ada juga pengguna yang memilih produk semata-mata kerana ia jenama kesukaan.
"Secara praktiknya pengguna perlu membandingkan harga serta penggunaan tenaga yang terdapat pada label produk sebelum membuat pembelian," jelas beliau.
Laporan kedudukan model pendingin dingin boleh dirujuk terus pada laporan yang disediakan oleh WECAM di laman web www.switch.org.my dan www.wecam.org.my.
SISTEM DUA TAG
Piarapakaran berkata untuk memastikan satu-satu produk elektrik yang ingin dibeli cekap dari segi penggunaan elektrik, pengguna boleh melayari laman web www.switch.org.my dan menggunakan kalkulator $$$ lawan Kecekapan.
Kalkulator $$$ lawan kecekapan akan membantu pengguna membuat pengiraan sistem dua tag harga iaitu tag harga A adalah kos produk sementara tag harga B ialah kos elektrik yang meliputi satu tempoh jangka masa, contoh, lima tahun.
Berdasarkan perbandingan yang dibuat WECAM ke atas pendingin hawa jenis berinverter menggunakan tenaga jauh lebih rendah berbanding jenis biasa.
Bagaimanapun, ini tertakluk kepada reka bentuk dan pemasangan dan kriteria ini turut dibincangkan dalam laporan WECAM.
Piarapakaran berkata pengguna perlu juga memahami bahawa untuk memastikan peralatan dapat berfungsi dengan berkesan, industri perlu melabur dalam bidang pembangunan dan penyelidikan (R&D) produk mereka.
Kos itu menyebabkan harga barangan mereka kadang kala menjadi lebih tinggi di pasaran.
TABIAT YANG MERUGIKAN
Piarapakaran turut menyentuh tabiat merugikan yang sering dilakukan oleh sesetengah pengguna ketika menggunakan pendingin hawa.
Beliau memberi contoh yang melibatkan individu A yang menggunakan pendingin hawa untuk tempoh lapan jam semasa tidur.
Individu B pula, katanya menghidupkan pendingin hawa untuk menyejukkan bilik ketika sampai di rumah. Individu ini mengambil masa 1 jam 30 minit sebelum memasuki bilik dan beliau kemudian tidur selama lapan jam.
"Jika dibaca pada label pendingin hawa, penggunaan tenaga mengikut bacaan label itu ialah 900 Watt dan kita menganggap tariff elektrik ialah RM0.218 per kWh (kilowatt per jam).
"Untuk individu A dan B setelah dibuat pengiraan, kos penggunaan pendingin hawa bagi lapan jam ialah RM1.56 sen. Untuk setahun, setiap individu ini akan menggunakan RM 1.56 x 365 bersamaan RM569.40," jelas Piarapakaran.
Bagaimanapun, kata beliau Individu B akan mengeluarkan belanja yang lebih untuk kos elektrik akibat tabiatnya menghidupkan pendingin hawa di kamar tidurnya selama 1 jam 30 minit sebelum masuk tidur.
Kos tambahan yang perlu dibayar oleh individu B bagi pembaziran masa 1 jam 30 minit mengikut pengiraan WECAM ialah RM0.29 sen dan jika dikira untuk setahun ialah RM0.29 x 365 akan mendapat jumlah RM105.85.
PERLU INGAT
"Jika kita mempunyai 100,000 orang yang memiliki tabiat seperti individu B, sebanyak RM10.585 juta akan dibazirkan setiap tahun.
"Selain daripada itu, masyarakat pengguna di Malaysia perlu tahu bahawa negara kita sedang menghadapi pengurangan sumber tidak boleh diperbaharui seperti petroleum, gas asli dan arang batu yang semakin serius," kata Piarapakaran.
Beliau turut mengingatkan pengguna di negara ini bahawa Malaysia banyak bergantung kepada sumber-sumber ini untuk menjana elektrik.
Malaysia akan menjadi negara pengimport sumber tenaga sepenuhnya menjelang 2016 dengan kadar penggunaan sumber-sumber ini sekarang, tambahnya.
Sehubungan dengan itu Piarapakaran berpendapat tarif elektrik akan meningkat dari semasa ke semasa kerana ia termaktub kepada pasaran dunia.
"Dalam konteks ini, kecekapan tenaga menjadi elemen yang amat penting dan pada jangka masa yang panjang, penggunaan tenaga yang lebih cekap dapat menjimatkan wang," katanya.
TIPS
WECAM memberi beberapa tips untuk membantu pengguna membuat pemilihan bijak apabila mahu membeli pendingin hawa.
Antara kriteria yang perlu diambil kira ialah pertama, keluasan bilik yang perlu disejukkan.
Sila rujuk www.switch.org.my atau www.wecam.org.my untuk garis panduan pemilihan pendingin hawa berdasarkan keluasan bilik.
Kedua, lakukan tinjauan harga kerana harga pendingin hawa sedikit berbeza antara satu lokasi dengan satu lokasi yang lain.
Terdapat kedai yang menawarkan diskaun sementara yang lain menawarkan kos pemasangan percuma. Catat beberapa sebut harga dan lakukan perbandingan terhadap harga, spesifikasi dan komponen yang ditawarkan.
Buat pertanyaan dan rujukan kepada kontraktor pemasangan pendingin hawa bagi mendapatkan maklumat tambahan dan jangan bergantung semata-mata kepada apa yang diberitahu jurujual.
Antara maklumat yang perlu difahami sebelum melakukan pembelian ialah berkaitan pemasangan, penyelenggaraan dan operasi sesebuah pendingin hawa.
Nasihat Piarapakaran kepada pengguna, jangan mudah terperangkap dengan tawaran harga murah. Menurut beliau, untuk pembelian pendingin hawa, harga yang murah tidak boleh menjadi penentu keputusan pembelian anda.
"Jika ada membeli pendingin hawa yang menawarkan teknologi inverter, sudah tentu harga yang ditawarkan lebih mahal berbanding pendingin hawa biasa.
'Tetapi anda dapat mengurangkan kos elektrik bulanan di mana kawalan kuasa inverter dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga antara 30 peratus hingga 50 peratus.
"Sekaligus ini dapat menjimatkan penggunaan tenaga dan wang anda," kata Piarapakaran sambil menambah pengguna boleh melayari laman web SWITCH! untuk mendapatkan juga tip pemasangan, penyelenggaraan, operasi dan keselamatan pendingin hawa yang dirumuskan di dalam laporan ini.