Oleh METRO SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my
Gambar ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN
FREDDIE menghulurkan sumbangan kepada isteri Allahyarham Din Beramboi, Suhaini sambil diperhatikan oleh barisan artis dan exco Karyawan.
SEBELUM ini, bagi pendengar setia segmen Riuh Pagi Era di radio Era, pasti hidup mereka diselubungi rasa ceria andai mendengar lawak jenaka si penyampai radio ternama ini.
Sawancara dan Drama Sebabak merupakan gelanggang penghibur ini membangkitkan mood gembira terhadap pendengar tatkala mentari mula menyinar.
Di pejabat, rumah mahupun di dalam kereta atau bas, meski ada yang beranggapan ia lebih kepada merapu.
Namun, mengenali peribadi lelaki yang setia menemani sebilangan rakyat Malaysia, hasratnya hanya satu iaitu menceriakan kehidupan pendengar-pendengarnya dengan gelak ketawa.
Kepada yang meminati dirinya, mengakui bahawa dia memiliki magis dalam membuatkan sang kecewa atau mereka yang tertekan dengan pelbagai cabaran untuk menghakis segala masalah berkenaan hanya kerana lawaknya.
Bagi pendengar setia, itu merupakan terjemahan kita terhadap seniman serba boleh itu.
Bagaimanapun, bagi ahli keluarga Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau dikenali sebagai Din Beramboi, bukannya jenaka beliau yang terpahat di fikiran, sebaliknya, nilai kasih sayang seorang ketua dalam keluarga yang sukar dicari ganti dalam dirinya.
Meletakkan anak-anak sebagai keutamaan, pemergian Allahyarham sememangnya satu kehilangan yang 'menyakitkan' biarpun hati mereka reda atas qada' dan qadar Ilahi.
Hati siapa yang tidak meronta, menangis dan pilu dengan pemergian orang tersayang, lebih-lebih lagi ahli keluarga sendiri.
Kosong tanpa teman di sini, namun tangis pilu sudah pasti tidak akan dapat mengembalikan arwah yang selamat bersemadi menemui Allah, pencipta kita semua.
Sesungguhnya, kematian itu adalah benar seperti yang telah dijanjikan Allah.
Berbalik kepada ahli keluarga Allahyarham, melalui saki-baki perjalanan di dunia tanpa arwah bukanlah suatu yang mudah untuk diluahkan dengan kata-kata.
Bukannya seorang suami atau bapa yang suka melepak di luar, kebanyakan masa cutinya dihabiskan dengan keluarga dan anak-anak.
Dari kaca mata isterinya, Suhaini Che' Man, 42, Allahyarham bukan sekadar suami atau ketua keluarga semata-mata tetapi banyak bertindak selaku guru baginya.
"Sejak kami berkahwin, arwah banyak kali mengingatkan saya tentang kematian. Banyak juga yang diajarkan kepada saya tentang bab agama. Kami banyak berbual soal agama dan kehidupan.
"Saya akui hidup saya memang kosong tanpanya. Amat terasa akan kehilangan arwah. Dia sangat rapat dengan saya dan anak-anak. Pada dasarnya, anak-anak nampak okey. Tapi saya tidak tahu bagaimana dalaman mereka,'' katanya ketika ditemui di kediaman ibunya, Saenah Abdullah, 59, di Kepong, Selangor baru-baru ini.
Pertemuan tersebut diatur oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang menziarahi Suhaini sekeluarga bagi menyampaikan sumbangan dalam meringankan beban yang ditanggung mereka atas kehilangan Allahyarham.
Hadir sama, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.
Allahyarham Din Beramboi menghembuskan nafas terakhir pada 2 April lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang akibat demam denggi berdarah.
Selain seorang balu, Allahyarham meninggalkan tiga orang anak iaitu Nil Aina, 17; Mior Shafiq, 12; dan Nir Ain, 6. Nil Aina yang telah menamatkan persekolahan di tingkatan 5 kini sedang menunggu keputusan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) manakala Mior Shafiq bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
Nir Ain atau mesra dipanggil Ain pula bakal memasuki ke alam persekolahan tahun satu, tahun depan.
Menyambung perbualan, Suhaini yang masih sugul dan sebak berbicara, bukannya mudah untuknya mengumpul kekuatan atas pemergian Allahyarham dalam masa terdekat ini.
Malah, ketika dia memiliki semangat, terkadang perasaan sayu dan pilu membuatkannya lemah kembali.
"Lazimnya, setiap malam selepas anak-anak tidur, saya dan arwah selalu lepak bersama dan bercerita banyak perkara.
"Dalam banyak-banyak cerita, saya teringat akan kisah ketika kami menziarahi kematian seorang teman. Isterinya meraung menangis kerana tidak dapat menerima kematian suami.
"Melihatkan perkara itu, arwah mengingatkan saya supaya jangan bersikap sedemikian kerana ia tidak baik di sisi agama. Pesanan ini yang buatkan saya rasa kuat,'' jelasnya sambil kelopak matanya bergenang air mata.
Kualiti Din Beramboi
Selama hidup dengan Allahyarham, Suhaini mengenali Din luar dan dalam. Terlalu banyak kualiti dalam diri suaminya yang akan terus dikenang selagi hayatnya dikandung badan.
"Setiap kali ke pasar, kalau boleh dengan semua orang hendak disapa. Pernah sekali itu dia hendak beli beberapa kilo (kilogram) durian. Tapi, dengan keramahannya, tauke jual durian itu bagi dia berkilo-kilo buah durian dengan percuma.
"Lagi satu, arwah kalau dia ada masalah atau dalam kesusahan, dia tidak pernah merungut dan hanya mendiamkan diri sahaja.
"Cuba kalau dia senang dan ada duit, dia tidak akan melupakan keluarga dan kawan-kawannya. Itulah kelebihan yang ada pada suami saya,'' Suhaini bercerita mengenai peribadi suaminya yang tiada tolok bandingnya.
Demi kerana kasih dan sayangnya Din pada isteri dan anak-anak, Allahyarham sentiasa menitikberatkan soal keselamatan keluarganya.
Kerana itu tidak hairanlah andai dia perlu bertugas di luar daerah, Allahyarham lazikmnya akan mengupah orang untuk menjaga rumahnya.
"Bahkan kalau hendak tahu, daripada perabot hinggalah pagar dan tembok di rumah kami di Sungai Buaya, Kuala Kubu Bharu, semua arwah yang buat sendiri.
"Arwah juga tidak suka lepak di luar. Kalau ada kawan-kawan hendak ajak minum di luar, dia akan menolak dan ajak mereka semua datang ke rumah,'' katanya menyambung bicara sambil sesekali sepasang matanya merenung jauh, menyelak kenangan manis dengan arwah.
Sebagai lelaki dan ketua keluarga yang bertanggungjawab, Allahyaham Din juga ujar isterinya sudah merancang banyak perkara baik soal karier, bisnes dan masa depan anak-anak.
Pendidikan anak-anak berada dalam senarai teratas perancangan hidup Din.
Menurut Suhaini, beberapa bulan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, perkara tersebut acap kali dibincangkan bersama.
"Memang dia telah memohon cuti panjang sebenarnya untuk kami memikirkan masa depan Nil Aina yang sudah habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Kami sebenarnya berhajat ke Universiti Lim Kok Wing dan arwah beria-ia mahu Nil Aina mendalami jurusan komunikasi massa.
"Masa arwah terlantar di hospital pun, dia ada tanya Along (Nil Aina) mengenai universiti berkenaan. Along tidak membantah.
"Bagi Shafiq pula, arwah pun sudah fikir hendak masukkan dia ke sekolah berasrama selepas habis UPSR nanti. Untuk Ain pun tidak dilupakan. Dia mahu Ain bersekolah di Damansara saja. Itulah, segalanya tidak sempat dilakukannya,'' ujar Suhaini.
Beralih kepada perancangan bisnes pula, Suhaini menjelaskan, dia dan arwah suami ada merancang untuk menjual cenderamata jenama Din Beramboi selain meneroka industri makanan.
Jenama Din Beramboi telah didaftarkan sejak tahun 1994. Pasangan suami isteri itu merancang untuk menjual beg sekolah atau beberapa cenderamata lain dengan jenama tersebut.
"Manakala berhubung soal karier pula, sudah ada beberapa program yang sepatutnya dikendalikan arwah termasuk filem Ah Long Bukit Beruntung bersama Afdlin Shauki.
"Sayang sekali semuanya tidak kesampaian. Insya-Allah, akan saya usahakan terutama soal pelajaran anak-anak,'' kata Suhaini dalam nada suara yang sangat lemah.
Din tidak kisah dikritik
Mendengar cerita teman seperjuangan arwah, Aznil Nawawi yang begitu sedih dengan pemergian Din Beramboi membuatkan Suhaini sedia maklum keadaan itu.
Suhaini secara peribadi, dia dapat merasakan bagaimana pilunya hati Aznil yang belum punyai kekuatan untuk memulakan tugas.
"Kami pun bersedih dan inikan pula rakan setugasnya di konti iaitu Pak Nil. Untuk pengganti arwah, saya tidak tahu bagaimana. Semua orang ada nilai, kualiti dan kekuatan masing-masing,'' ujarnya yang tidak memiliki sebarang idea mengenai pengganti arwah di studio Era.
Sebagaimana Allahyarham Din yang sangat terbuka dan begitu cerita, pendekatan yang sama diterimanya apabila ada pihak yang mengkritik lawak jenakanya.
Sepanjang pengetahuan Suhaini, suaminya tidak pernah ambil peduli dengan kritikan tersebut.
"Baginya, semua kritikan itu tidak perlu dijadikan penghalang untuk teruskan karier. Arwah kata dia ada banyak lagi perkara yang hendak difikirkan daripada melayan kritikan berkenaan,'' tambahnya.
Suhaini dan anak-anak kini menetap di kediaman ibunya, Saenah di Kepong, Selangor lantaran khuatir dengan keselamatan selepas rumah mereka di Sungai Buaya dipecah masuk perompak, baru-baru ini.
Biarpun kesedihan tambah berganda, namun Suhani menyerahkan kepada pihak berkuasa terhadap kes rumah mereka yang dipecah masuk.
"Selepas kejadian itu (pecah masuk), saya dan anak-anak tidak berani tinggal di sana. Ibu saya pun nampak ceria kami menetap di Kepong.
"Sesekali, kami pasti akan pulang juga menjenguk rumah di Sungai Buaya. Tapi, lebih baik saya menetap di Kepong. Jenazah Allahyarham pun dikebumikan di sini (Kepong). Dapatlah saya melawat kubur arwah kalau rasa rindu,'' kata Suhaini mengakhiri bicara.