“Polis dalam dilema sama ada mahu mendakwa pelawak terkenal dan lima lagi rakannya atas kesalahan memiliki dadah ataupun menghisap dadah,” kata Mohd Fadly Hashim, peguam yang mewakili semua tertuduh.
Menurut Mohd Fadly, polis membenarkan semua anak guamannya dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin kerana belum dapat memutuskan dakwaan yang akan dikenakan terhadap keenam-enam mereka.
“Anak guam saya agak sukar untuk didakwa berhubung kes memiliki dadah, kerana semua mereka ditahan di rumah yang boleh diakses ramai orang dan saya nak maklumkan di sini, rumah yang diserbu sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) daerah Subang Jaya Sabtu lalu bukan milik pelawak terbabit, tetapi adalah milik salah seorang daripada lima rakannya yang ditahan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, disebabkan faktor itulah tempoh dua minggu diberikan polis bagi menentukan sama ada akan mendakwa pelawak dan rakan-rakannya ataupun tidak.
“Pihak polis berkemungkinan mendakwa mereka kerana positif dadah dan jika sabit kesalahan, atas pengalaman saya sebagai peguam, semua mereka hanya akan didenda.
“Mereka juga mungkin akan menjalani tempoh pemerhatian saja kerana ia adalah kesalahan pertama. Itupun jika ujian air kencing kali kedua dijalankan makmal membuktikan mereka positif dadah,” katanya.
Mohd Fadly berkata, disebabkan menunggu keputusan ujian berkenaan jugalah semua anak guamannya dibebaskan dan pihaknya akan dimaklumkan pihak polis berhubung perkembangan kes itu kelak.
Akhbar ini Isnin lalu melaporkan seorang pelawak bersama lima rakannya termasuk seorang wanita ditahan di sebuah apartmen di PJS, Subang Jaya ketika sedang sedang melepas gian. Serbuan itu turut menemui beberapa peket kecil berisi daun kering dipercayai ganja dianggarkan seberat 40 gram dan siasatan awal berdasarkan kuantiti dadah terbabit ia untuk kegunaan sendiri. Semua suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk menjalani ujian air kencing. Hasil ujian mendapati semua mereka positif ganja serta mereka ditahan reman selama empat hari dan dibebaskan kelmarin dengan jaminan polis. Difahamkan, pelawak terbabit pernah dikaitkan dengan kes sama sebelum ini apabila penyebaran gambarnya menghisap dadah melalui Internet dan telefon bimbit, bagaimanapun perbuatan itu dinafikan.