Followers

Wednesday, June 9, 2010

Konsert Double Trouble disabotaj?

KEJAYAAN konsert Double Trouble yang menggabungkan dua gergasi rock, Search dan Wings di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Mei lalu masih lagi segar dalam ingatan para peminat.
Konsert tersebut bukan sahaja berjaya menghimpunkan 20,000 peminat, malah lebih 3,000 lagi terpaksa berputih mata gara-gara gagal mendapatkan tiket.

Lain pula kisahnya pada konsert edisi ke-2 yang berlangsung di Stadium Larkin, Johor Bahru malam Sabtu lalu apabila ia 'disabotaj' oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan menjual tiket palsu.

Difahamkan, para petugas keselamatan yang menyiasat perkara tersebut berjaya merampas tiket palsu daripada seorang lelaki yang menjual tiket berkenaan di ruang legar pintu masuk stadium.
Mahu tidak mahu, peminat yang tetap ingin menyaksikan konsert tersebut terpaksa membeli tiket yang baru di kaunter.

Pihak yang tidak bertanggungjawab menjual tiket palsu itu diibaratkan sebagai menganiaya industri hiburan dan peminat dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Bagaimanapun, insiden tersebut tidak menjejaskan persembahan bertenaga dua 'otai' rock yang bersatu di atas pentas yang sama sepanjang kira-kira tiga jam persembahan bermula pukul 9.15 malam itu berlangsung.
Dengan kebanjiran 15,000 penonton termasuk yang datang dari Singapura, hampir setengah padang bola sepak dipenuhi dengan peminat yang tidak berganjak dari awal hingga ke penghujung persembahan.

Bermula dengan paduan suara menerusia lagu Gemuruh, Amy dan Awie terus membuai penonton dengan seleksi lagu malar segar mereka antaranya Sejati, Alam Barzakh, Isi Atau Kuku, Isabella, Pawana, Pelesit Kota, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Ranggi Metropolis dan banyak lagi.
Atmosfera di dalam stadium bertambah hangat apabila peminat bersama-sama mendendangkan lagu sepanjang zaman antaranya Rozana, Semalam Yang Hangat, Gadisku, Taman Rashidah Utama, Meniti Titian Usang, Syakilla dan Nur Nilam Sari yang dinyanyikan secara medley.
Hari yang semakin larut sedikitpun tidak mengganjakkan penonton dari padang lalu Awie dan Amy meneruskan momentum persembahan penutup dengan menyanyikan lagu Iron Maiden dan Rock & Roll Lu Punya Suka.

Tidak sekadar menyanyi semata-mata, Awie dan Amy turut bijak berkomunikasi dengan penonton dan gelagat Awie yang mendukung Amy di pertengah dan penghujung persembahan ternyata menghangatkan lagi konsert tersebut.

Ternyata kejayaan dua konsert ini tidak berhenti di situ sahaja apabila perancangan untuk mengadakan beberapa lagi konsert di Sabah dan Sarawak, Pulau Pinang termasuk di Singapura yang kini dalam peringkat diperbincangkan.
Jika tiada aral melintang, untuk konsert selepas ini penganjur, Adepnet Sdn. Bhd. akan membawa konsert tersebut untuk menemui peminat di Limbang, Sarawak pada 16 Julai dan di Tawau, Sabah pada 27 Julai.

Oleh AZIZI MAJID - Utusan Online

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails