Followers

Friday, June 4, 2010

Sukarelawan Gaza rakyat Malaysia berlepas pulang

Utusan online 7.55 petang  hari ini melaporkan dari AMMAN bahawa sekumpulan 12 rakyat Malaysia yang dibebaskan kerajaan Israel Rabu lepas ekoran insiden rampasan kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza awal minggu ini, hari ini telah meninggalkan Amman untuk ke Istanbul sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Mereka diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan pegawai kementerian yang lain menaiki pesawat Royal Jordanian (RJ).
Penerbangan RJ165 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia pada 11.20 pagi waktu tempatan (4.20 petang waktu Malaysia).

Hadir sama di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan kepada rombongan itu ialah Duta Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz.
Mereka dijadual berlepas dari Istanbul pada petang Sabtu dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 5.50 pagi Ahad.

Seorang pegawai di kementerian itu memberitahu, ketibaan rombongan berkenaan akan disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka dan keluarga masing-masing kemudiannya akan dibawa menaiki tiga bas menuju ke kediaman persendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails